Lilypie Second Birthday tickers Lilypie Maternity tickers

Monday, September 7, 2009

Seindah Taman Ramadhan

Bismillah…
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin…. Segala puji bagi Allah yang mentadbir seluruh alam… segala puji bagi Allah yang menghadiahkan Ramadhan ini lagi. Bulan yang penuh kemurahan. Kemurahan maghfirah Allah, kemurahan nikmat Allah, kemurahan kasih sayang Allah… sehingga hati-hati yang berada di dalamnya lebih asyik untuk mengumpul amal, lebih asyik untuk ke majlis ilmu, lebih asyik mengalunkan kalimah cinta ‘Surat Cinta dari Langit’, lebih asyik berlama-lama di tikar sejadah. Mungkin tidak mahu melepaskan peluang di MEGA SALE Ramadhan, dengan diskaun,bonus dan hadiah yang tidak ternilai banyaknya. Lebih mudah terkenangkan dosa-dosa yang lalu, yang tanpa sedar membekaskan titik hitam di hati, menyesal. Takut Allah marah.

Ramadhan telah lama menginjak ke fasa ke-dua. Bagaimana amal? Target dah dicapai berapa peratus? Semoga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya.
Hidup ini satu permusafiran. Ibaratnya seperti satu golongan yang bermusafir selama sebelas bulan di padang pasir yang panas, kering kontang, gersang, dengan bekalan minuman dan makanan yang terhad. Maka mereka melalui perjalanan itu dengan kepayahan, demi mengharapkan untuk berjumpa dengan bekalan bagi perjalanan mereka. Di pertengahan jalan mereka bertemu dengan satu taman yang redup dan tenang, penuh kemurahan. Dipenuhi dengan kebun-kebun kurma, wadi. Penduduknya berasa tenang di dalamnya. Mereka berasa sangat gembira dan berpesta di dalamnya. Menyedari bahawa permusafiran itu bakal di diteruskan, maka mereka mengumpul sebanyak mungkin bekalan untuk perjalanan selama sebelas bulan yang mendatang. Berehat secukupnya, merawat luka-luka, membina ketahanan diri, membina motivasi kerana perjalanan yang bakal ditempuhi amat mencabar dan memerlukan kekuatan. Meninggalkannya tentu sekali membekaskan rindu yang amat mendalam. Rindu lagi untuk berada di taman itu. Itulah taman Ramadhan. Begitulah para sahabat mengandaikan kecintaan mereka terhadap Ramadhan.
Begitulah juga kita. sebelas bulan kita lalui kehidupan dengan penuh cabaran. Penat. Allah kurniakan satu bulan untuk kita berasa tenang di dalamnya, berehat, mengutip bekalan sebanyaknya. Mungkin ini juga masanya untuk duduk sekejap, memikirkan perancangan permusafiran hidup. Menyusun strategi dan membetulkan niat. Kerana kita bakal menempuh perjalan berikutnya. Sungguh rugi jika peluang ini tidak di ambil sebanyaknya.

bersambung...