Lilypie Second Birthday tickers Lilypie Maternity tickers

Thursday, September 29, 2011

This is me...

Bismillah....

Dah lama juga tidak mencoret sendiri di sini... Lebih banyak membaca tulisan orang-orang yang banyak ilmu. Mencari setinggi kekuatan dan himmah untuk bekalan sendiri. Agar selaut ilmu itu bisa di jadikan bekalan sepanjang perjalanan yang sukar di duga gelombangnya.

Sekian waktu...rindu pada tulisan sahabat sendiri, walau ia sekadar coretan diary da'i. Yang dirindui ialah diri da'i. Tulisan-tulisan sahabat sendiri terasa memberikan motivasi. Terasa cemburu bila rasa ilmu mereka lebih tinggi, maka itu akan membuat diri lebih berusaha untuk mentelaah segenap ilmu.

Jadi..bila mereka satu...demi satu... mendiamkan blog, motivasi juga terasa luntur... Blog juga sudah boleh dijadikan tempat menulis diary.

Sekian lama waktu juga saya tidak menggembleng tenaga dengan hebat di bidang dakwah. Bench marknya adalah urusan dakwah alam kampus UTM. Sebenarnya banyak juga terlibat dengan berbagai perbincangan, namun itu masih tidak sehebat dulu.

Itulah saya sebagai manusia yang mempunyai tabiat...suka mengukur. Meletakkan expectation yang agak tinggi pada sesuatu perkara. Saya mahu apa yang berlaku pada hari kemudian adalah lebih baik atau paling kurang, perlu sama dengan hari semalam. Begitu juga ukuran saya terhadap orang lain. Orang lain perlu lebih baik dari saya, atau sekurang-kurangnya sama standard dengan saya. Kerana minda saya suka menganalisis semua itu...

Alhamdulillah sekarang kembali menghayun rentak di medan kampus, dan sekarang juga langkah kaki agak perlahan lantaran badan yang semakin memberat, kerana ada seorang bakal da'i yang dikendong bersama. Semoga langkah ibunya menjadi satu muntalak buat dirinya dalam arena dakwah. Dan itulah doa abi dan ummi sekian waktu.

Arena dakwah kampus kembali diterokai. Dengan waqi' dan kaedah yang berbeza mungkin. Maka usaha perlu ada lebih disitu... Semoga Allah sentiasa memberikan kekuatan buat mental dan fizikal ini. Akal yang sentiasa giat berfikir dan merancang. Semoga memori hari ini dan semalam menjadi penguat di masa akan datang. Yang tidak diketahui apakah jadinya pada da'i ini. Yang baru saja menlangkah ke tangga kedua yang turut memberikan cabaran pada dakwah.

Rasa bersyukur Allah masih ditempatkan diri ini di universiti. Di medan ilmu. Kerana itulah yang diminati. Dikurniakan seorang zauj yang memahami. Semoga anugerah ini membuat hamba ini sentiasa bersyukur.

Tiga minggu lepas, maka bermulalah status saya sebagai seorang pelajar master, walau sudah sekian bulan saya telah menjalankan kajian terhadap tajuk master ini. Semoga Allah permudahkan.

Kehidupan di dalam bilik tutor ini juga semakin baik di banding dengan dua tiga bulan awal di tempatkan di sini. Dan saya turut merasakan orang-orang di sini semakin baik, di tambah dengan kemasukan beberapa orang yang baik, yang turut menjadikan suasananya baik.

Terasa sedikit bersalah dengan label saya yang sekian-sekian pada mereka ketika awal-awal dahulu, kerana ada dua tiga perkara yang 'membengkekkan' hati saya. Seharusnya da'i tidak begitu. Bukankah dia perlu sentiasa bersangka baik? Apatah lagi dengan perlabelan sekian-sekian. Jika ada dibenci, cukuplah benci pada perbuatan manusia itu, tidak pada orangnya, dan berusaha untuk membetulkannya.

Kagum dengan seorang staf dalam bilik ni. Sepanjang pengetahuan, rasanya boleh saya katakan dia tak pernah ikut usrah. Tetapi dia sentiasa menjadi qudwah dari segi amal atau kerja. Wahhh...betapa saya rasa tercabar dengan dia...

erk sambung ...........

ha... Sambung setelah 3 jam 45 minit. Selesai diskusi bersama pelajar baru UKM. Bakal-bakal da'i masa akan datang. Terasa mode dakwah IPT semakin kembali. Menyaksikan kembali wajah mulus mereka. Hati ini yang kian berseri.. Biarpun semakin hari, badan semakin berat. Tapi semangat juga terasa semakin meningkat. Semoga Allah permudahkan jalannya... buat hambaNya ini...yang banyak meminta, banyak mengadu dan merungut.


Tuesday, September 27, 2011

Perancangan Keluarga

Bukan had jumlah anak

“BANYAK pasangan muda tergamam seketika apabila saya tanya mahu berapa orang anak atau berapa tahun jarak antara kehamilan yang menunjukkan aspek perancangan keluarga tidak termasuk dalam agenda hidup mereka,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Berdasarkan pemerhatiannya, isu perancangan keluarga masih menjadi topik janggal dalam masyarakat kerana ramai tidak pernah terfikir mengenainya apabila mendirikan rumah tangga.

Biasanya perbincangan sebelum kahwin lebih berkisar pada persiapan pengantin dan majlis perkahwinan tetapi jarang yang mengambil kira soal saiz keluarga atau bila mahu mempunyai anak.

Sedihnya ada pasangan yang bukan saja tidak pernah terfikir malah tidak mempunyai pengetahuan mengenai kepentingan untuk merancang keluarga.

Kebanyakannya berpendapat anak adalah rezeki dari Allah dan menerima berapa saja yang dikurniakan kepada mereka.

“Merancang keluarga bukan untuk mengehadkan jumlah anak. Tidak. Kita masih boleh mempunyai anak ramai sehingga lima orang, asalkan setiap kehamilan itu dirancang, direncana dan dikehendaki.

“Dirancang maknanya kehamilan itu dirancang jaraknya dengan kehamilan terdahulu atau seterusnya supaya anak tidak terlalu rapat. Ini kerana jika anak terlalu rapat, kemungkinan ada anak kurang mendapat perhatian sangat tinggi.

“Kehamilan direncana bermakna kita ada perancangan untuk anak yang bakal lahir khususnya jika ibu bekerja. Ini termasuklah persediaan si ibu sendiri sepanjang tempoh kehamilan kerana dia perlu menjalani pemeriksaan selepas lapan minggu hamil, siapa yang akan menjaganya ketika pantang dan mencari penjaga anak apabila si ibu kembali bekerja. Itu belum masuk soal kewangan bagi membiayai persekolahan anak.

“Setiap kehamilan mestilah dikehendaki. Memang ramai yang saya temui mengakui mempunyai anak ‘accident’ - maksudnya kehamilan yang tidak dirancang dalam keadaan pasangan tidak bersedia yang biasanya membabitkan anak kedua.

“Bayangkan apa perasaan anak jika mereka tahu mereka adalah ‘anak accident’,” katanya sempena Hari Kontraseptif Sedunia yang disambut pada 26 September setiap tahun.

Kesan daripada kehamilan yang tidak dirancang ini sangat besar terutama pada perkembangan emosi dan sosial anak berkenaan.

Lebih teruk jika ada ibu bapa yang bersikap pilih kasih kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap anak. Walaupun masih kecil tetapi anak-anak boleh tahu sama ada ibu bapa bersikap acuh tidak acuh, mereka disayangi atau tidak.

“Kesannya hanya akan nampak apabila anak-anak ini meningkat remaja. Pada masa inilah ramai yang terbabit dalam pelbagai perbuatan berisiko tinggi seperti aktiviti tidak bermoral, merempit atau melakukan jenayah.

“Soal selidik dilakukan ke atas ibu pelajar pesalah juvana mendapati anak-anak yang terbabit dalam jenayah adalah kurang mendapat perhatian ibu bapa.

“Ibu bapa menyifatkan mereka anak yang degil tetapi sebenarnya sikap ibu bapa yang kurang mengendahkan anak membuatkan si anak ‘memberontak’ dengan caranya sendiri.

“Itu insiden yang berlaku jika kehamilan itu dalam ikatan perkahwinan. Jika kehamilan luar nikah, maka bersedialah mendengar berita pembuangan bayi atau remaja melahirkan anak di asrama atau dalam tandas,” katanya.

Menurutnya, sikap acuh tidak acuh ibu dan ayah mengenai perkara ini perlu diperbaiki.

Katanya, orang dulu-dulu memang mahu mempunyai anak yang ramai apabila berkahwin tetapi keadaan kini berubah kerana wanita mempunyai kerjaya. Jadi ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum atau sejurus memasuki gerbang perkahwinan.



Mengapa isu perancangan keluarga penting?


Mungkin ramai pasangan tidak sedar perancangan keluarga perkara asas dalam hidup berumah tangga. Sekali lagi ditegaskan ia bukan bertujuan mengehadkan jumlah anak atau menolak anugerah dari Allah tetapi apa yang dikehendaki ialah kehadiran setiap anak itu memang sangat dinanti dan diharapkan.

Hanya dengan cara ini barulah anak itu akan mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.

Bagaimanapun kata Dr Harlina, isu ini tidak terhenti di situ kerana walaupun anak menjadi penyeri hidup dan pengikat kasih sayang ibu dan bapa tetapi kehadirannya juga boleh menyebabkan berlakunya pergolakan rumah tangga.

Kehidupan wanita moden sangat sibuk. Tidak cukup dengan kesibukan di tempat kerja dan rumah, mereka masih mahu menyumbang kepada masyarakat.

Kehamilan yang tidak dirancang memberi tekanan kepada emosi, fizikal dan kewangan.

“Untuk mendapat hidup yang bahagia kita perlukan lima elemen iaitu ketenangan emosi, kesihatan fizikal, keupayaan ekonomi, kelapangan masa (untuk anak-anak, suami dan diri sendiri) serta sokongan sosial (daripada segi penjagaan anak khususnya).

Jika aspek ini terganggu, maka kita akan mudah terhumban dalam konflik rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.

“Kebanyakan perceraian berlaku dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan, namun kadar lebih tinggi dicatatkan bagi lima tahun pertama kerana pada masa pasangan mula mendapat anak.

Jika tanpa perancangan, dalam tempoh lima tahun anda boleh memperoleh tiga orang anak.

“Namun jika aspek perancangan keluarga sudah dimasukkan atau dibincangkan dari awal, konflik rumah tangga membabitkan anak boleh ditangani dengan baik dan dapat menyelamatkan rumah tangga.

“Sebab itulah pentingnya kesedaran untuk menyusun atur keluarga supaya bukan anak-anak saja yang dapat manfaat tetapi ibu bapa juga boleh membentuk kehidupan berumah tangga yang bahagia,” katanya.

Malah melalui strategi menyusun atur keluarga, ibu dan bapa akan lebih bertanggungjawab dan prihatin pada anak-anak.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dan mempertikaikan bahawa anak adalah anugerah Allah untuk ‘disusun atur’ tetapi kata Dr Harlina, Allah juga memberi kita akal untuk berfikir membuat perencanaan hidup demi kebaikan semua pihak.

Bahkan tidak keterlaluan juga jika dikatakan perancangan keluarga dapat mengelakkan berlakunya sikap pilih kasih.


Bila pasangan sepatutnya berbincang mengenai perancangan keluarga?


Menurut Dr Harlina, isu ini boleh dibincangkan pada bila-bila masa apabila mereka sudah bersedia untuk berumah tangga.

Antara persoalan perlu dimasukkan dalam perbincangan itu ialah bila mereka mahukan anak, berapa anak yang diingini dan berapa tahun jarak antara dua anak.

Jarak kehamilan yang paling ideal antara 2.5 hingga tiga tahun iaitu anak pertama berusia 2.5 tahun atau tiga tahun ketika kelahiran anak kedua. Pada jarak ini, ibu bapa dapat memberikan perhatian sewajarnya kepada setiap anak.

Islam tidak menghalang penggunaan kaedah perancangan keluarga bagi memastikan setiap kehamilan dan kelahiran adalah dikehendaki, disayangi dan dialu-alukan.

Malah, ia bukan saja membolehkan ibu bapa bersedia mental, fizikal dan kewangan, tetapi perancangan kehamilan penting untuk kesihatan wanita sendiri.

“Jika wanita berkahwin pada usia 23 hingga 25 tahun, dia boleh menetapkan had umur 35 tahun sebagai tahun terakhir mengandung tetapi dinasihatkan supaya tidak mengandung selepas umur 40 tahun kerana ada banyak risiko.

“Dalam tempoh 10 tahun, dia boleh mempunyai tiga atau empat orang anak jumlah yang sudah dikira mencukupi bagi sesebuah keluarga moden. Jadi dia bolehlah ‘bersara’ awal daripada mengandung.

“Bagaimanapun bagi yang berkahwin lewat contohnya pertengahan 30-an, perlu ada sasaran realistik, jumlah anak mungkin terhad kepada dua orang saja,” katanya.


Perlukah persetujuan suami?

Oleh kerana ia membabitkan saiz keluarga, sebaiknya perkara itu dibincangkan, bukan untuk mendapatkan persetujuan suami tetapi bagi mendapat maklum balas di samping menyalurkan ilmu.

Biasanya kebanyakan suami tidak membantah jika isteri mahu menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi kebaikan bersama.

Namun jika suami anda adalah jenis lelaki yang tidak boleh dibawa berbincang, maka tidak salah jika isteri mengambil keputusan sendiri kerana ia dilakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak.


Jika maklumat perancangan keluarga disebarkan, tidakkah akan timbul isu penyalahgunaan terutama di kalangan golongan muda beragama Islam?

Jika dilihat daripada perspektif agama, memang semua orang tahu bahawa seks sebelum berkahwin adalah zina dan haram.

Bagaimanapun kata Dr Harlina, kita perlu menerima hakikat golongan muda termasuk ramai remaja Islam di negara kita terbabit dengan atau seks luar nikah.

Pada pandangannya sebagai seorang doktor, semua orang perlu dibekalkan dengan ilmu mengenai pencegahan kehamilan baik bagi yang sudah berkahwin atau masih bujang.

Sekiranya mereka memilih untuk berzina (walaupun tahu ia adalah haram dan berdosa besar), maka si perempuan perlu tahu dua perkara iaitu risiko daripada hubungan seks dan cara mengelakkan kehamilan. Bahkan mereka juga perlu ada akses atau laluan untuk mendapatkannya.

“Dalam hal ini, lebih baik jika mereka tahu mengenai kaedah pencegahan kehamilan supaya tidak berlaku jenayah pengguguran kandungan atau pembuangan anak.

“Namun marilah kita sama-sama berdoa moga ramai anak gadis kita yang tahu menjaga kehormatan diri dan tidak menyalahgunakan ilmu yang mereka ada.

“Ketika bercinta tidak rugi lebih menyayangi diri sendiri daripada menyesal di kemudian hari,” katanya.

Sunday, September 25, 2011

Membangun Interaksi Suami Isteri


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Apakah yang kita inginkan terhadap keluarga kita?

Sudah pasti, tidak ada seorang suami atau isteripun di dunia ini yang menginginkan keluarganya:

  1. Menjadi kacau bilau.
  2. Sentiasa bermasaalah.
  3. Menjadi neraka dunia.

Begitu juga dengan kita di mana kita pasti menginginkan :

  1. Keluarga yang harmoni di mana hubungan suami isteri yang romantik.
  2. Keluarga yang ‘sakinah mawaddah wa rahmah’.
  3. Rumah tangga yang menjadi syurga dunia iaitu ‘baiti jannati’ (rumahku syurgaku).

Untuk mencapainya, Islam mengajarkan kepada kita cara-cara untuk membangun kehidupan keluarga dengan berlandaskan interaksi antara suami dan isteri yang menekankan ciri-ciri berikut:

PERTAMA : KESEIMBANGAN (AT-TAWAAZUN)

Allah swt meletakkan hukum ‘tawazun’ (keseimbangan) pada setiap ciptaanNya.

Kita akan mendapati keseimbangan yang luar biasa pada alam ini misalnya :

  1. Kedudukan matahari yang jaraknya paling sesuai yang menghasilkan keseimbangan pada suhu bumi.
  2. Berlakunya putaran antara siang dan malam.
  3. Bintang-bintang yang menghiasi langit dengan indahnya.
  4. Kewujudan gas Oksigen yang mencukupi untuk pernafasan manusia.

“Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (QS Al-Mulk : 3)

Dengan keseimbangan ini, kehidupan berjalan dengan baik. Sebaliknya, apabila keseimbangan ini hilang, yang berlaku adalah kerusakan dan kebinasaan sepertimana ketika manusia merusakkan keseimbangan alam dan membuat tatacara lingkungan kehidupan yang “baru”. Ketika hutan telah ditebang dan dibersihkan, maka air sungai mula dicemari yang akhirnya mengakibatkan banjir dan ini adalah salah satu kesan dari ketidakseimbangan aktiviti yang dilakukan oleh manusia.

Begitu juga dalam kehidupan rumah tangga. Islam mengajarkan keseimbangan ini sebagai salah satu prinsip yang mesti diterapkan oleh suami isteri.

“Dan para perempuan memiliki hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf…” (QS Al-Baqarah : 228)

Menurut Ath-Thabari, sebahagian ulama’ ketika menjelaskan ayat ini mengatakan :

“Dan mereka (para isteri) mempunyai hak untuk ditemani dengan baik dan dipergauli secara makruf oleh suami mereka. Sebagaimana mereka berkewajiban mentaati suami dalam hal-hal yang telah diwajibkan Allah atas mereka.”

Sedangkan Muhammad Abduh dalam ‘Tafsir Al-Manar’ menafsirkan ayat ini dengan mengatakan :

“Dan yang dimaksudkan dengan keseimbangan di sini bukanlah kesamaan kewujudan sesuatu dan ciri-cirinya; tetapi yang dimaksudkan adalah bahwa hak-hak antara mereka itu saling mengganti dan melengkapi. Tidak ada suatu pekerjaan yang dilakukan oleh isteri untuk suaminya melainkan si suami juga mesti melakukan suatu perbuatan yang seimbang untuknya. Jika tidak seimbang dalam sifatnya, maka hendaklah seimbang dalam jenisnya.”

Sikap seimbang ini mesti wujud dalam kehidupan berumah tangga.

  1. Sebagaimana suami memiliki kewajiban terhadap isteri, isteri juga memiliki kewajiban terhadap suami.
  2. Jika suami ingin isterinya setia, demikian pula isteri menginginkan suaminya setia.
  3. Jika suami ingin dicintai oleh isterinya, isteri juga ingin dicintai oleh suaminya.
  4. Jika suami senang isterinya berhias rapi dan cantik, isteri juga senang jika suaminya berhias rapi untuknya.
  5. Jika suami merasa senang dilayani oleh isterinya, isteri juga turut merasa senang dilayani oleh suaminya.

Jika masing-masing isteri dan suami menerapkan prinsip keseimbangan (tawazun) ini, maka tidak akan ada perasaan yang terbeban oleh salah satunya melebihi yang lain.

Beban dan masalah yang dihadapi oleh keluarga akan menjadi lebih ringan dan perasaan cinta semakin tumbuh dan berkembang apabila melihat pasangan masing-masing telah melakukan yang terbaik di antara mereka.

KEDUA : KEADILAN (Al -‘ADALAH)

Keadilan mestilah menjadi landasan dalam interaksi antara suami dan isteri kerana hanya dengan sikap itulah keharmonian hubungan mampu dijaga dan dilestarikan.

Bahkan lebih dari itu, jika suami dan isteri masing-masing mampu bersikap secara adil maka kesatuan mereka akan menghasilkan sebuah potensi besar yang sangat diperlukan untuk melahirkan generasi penerus yang berkualiti.

“Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Al-Maaidah : 8)

Sikap adil yang lebih cenderung pada taqwa itu mesti dimiliki oleh suami dan isteri dalam interaksi mereka.

Sikap adil mesti menghiasi kehidupan rumah tangga, dari perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada persoalan yang lebih besar.

Adalah tidak adil jika suami mencela makanan yang disediakan oleh isterinya, sementara ia sendiri tidak mampu menyediakan bahan-bahan asas makanan dan peralatan memasak yang mencukupi.

Adalah tidak adil jika suami menuntut isterinya bersolek seumpama bidadari sewaktu di hadapannya, sementara suami tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk membeli bahan kosmetik yang diperlukan.

Adalah tidak adil jika isteri mencela suami kerana kesalahan kecil sementara kebaikan suami tidak pernah dipujinya.

Adalah tidak adil jika isteri tidak pernah berterima kasih kepada suaminya yang bekerja keras sebulan penuh dan menyerahkan sebahagian gajinya, sementara saat ada hadiah kecil dari kawan-kawannya, si isteri tersebut mengucapkan terima kasih berkali-kali dan menyanjungnya.

Sikap adil mesti dimulai dari pemahaman diri dan penerimaan.

Suami isteri mesti memahami kewajibannya dahulu dan kemudian melaksanakannya dan bukan dimulai dengan menuntut haknya.

Sikap adil lebih mudah dilakukan oleh suami isteri jika ada majlis perkumpulan dalam keluarga di mana majlis perkumpulan ini boleh dilakukan secara santai sambil minum teh bersama atau acara santai lainnya.

KETIGA : CINTA DAN KASIH SAYANG (AL-MAHABBAH WAR RAHMAH)

Cinta dan kasih sayang merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam interaksi antara suami dan isteri di mana kehidupan rumah tangga mestilah dibangunkan di atas landasan ini.

Ada sedikit perbezaan antara ‘mahabbah’ dan ‘rahmah’.

  1. ‘Mahabbah’ adalah cinta di kala suami isteri masih pada usia muda atau usia yang produktif.
  2. ‘Rahmah’ pula adalah cinta di saat mereka sudah menjadi datuk-datuk dan nenek-nenek di mana pada saat itu tidak ada hubungan intim suami isteri sebagaimana lazimnya ketika mereka muda, tetapi kasih sayang tetap membuatkan mereka bersatu dan saling mengasihi meskipun tidur saling membelakangi.

Dengan cinta dan kasih sayang, seorang suami akan berusaha semaksima mungkin untuk membahagiakan isterinya. Demikian pula isteri akan membahagiakan suaminya.

Cinta dan kasih sayang dalam ikatan perkahwinan mestilah menjadi cinta yang paling kuat dan paling kukuh melebihi apapun antara dua orang.

Rasulullah saw bersabda :

“Tidak terlihat di antara dua orang yang saling mencintai melebihi perkahwinan.” (HR Ibnu Majah)

Jadi, bagaimana jika perkahwinan kita belum juga membuahkan cinta atau cinta di awal perkahwinan kini menjadi semakin hambar atau nyaris pupus?

Salah satu tips yang boleh dilakukan adalah dengan mencari satu sahaja kelebihan isteri atau suami kita yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Kalau mencari yang sempurna (lebih dalam segala perkara), percayalah, kita tidak akan pernah mendapati seorangpun manusia seperti itu.

Cari satu sahaja kelebihannya dan fokuslah ke sana. Sudah sampai masanya kita mengabaikan satu pepatah yang mengatakan :

“Rumput jiran tetangga sentiasa lebih hijau.”

Tips lainnya adalah dengan sentiasa mengingati kesetiaan dan pengorbanannya.

Lihatlah sisi kelemahan atau kekurangan kita lalu bersyukurlah kerana Allah menjadikan pasangan kita menerima apa adanya.

  1. Kenanglah di saat kita ditimpa sakit, siapakah yang melayani dan menunggu kita?
  2. Ingatlah saat kita lemah, siapakah yang menguatkan kita?
  3. Renungkan ketika jiwa kita terasa dingin, siapakah yang menghangatkan jiwa kita?
  4. Bahkan, pandanglah anak-anak kita, isteri kitalah yang melahirkan mereka dengan risiko yang mengancam nyawanya manakala suami kitalah yang giat bekerja demi masa depan mereka.

KEEMPAT : MENDAHULUKAN KEWAJIBAN DARIPADA HAK (TAQDIIMU ADA-IL WAAJIBAAT ‘ALA THALABIL HUQUUQ)

Seringkali masaalah rumah tangga bermula dari perasaan ego suami atau isteri. Setiap mereka sentiasa menuntut hak-haknya tetapi tidak memperhatikan kewajibannya. Bahkan setiap mereka begitu tahu secara terperinci apa-apa yang menjadi hak masing-masing, tapi kurang peduli dengan kewajiban mereka masing-masing.

Interaksi suami dan isteri mestilah dibangunkan di atas landasan yang benar iaitu mendahulukan kewajiban daripada hak.

Oleh kerana itulah, buku ‘Kewajiban Isteri Kepada Suami’ mesti dibaca oleh isteri, bukan ditulis untuk dibaca oleh suami. Sebaliknya, buku ‘Kewajiban Suami kepada Isteri mesti dibaca oleh suami, bukan ditulis untuk dibaca oleh isteri.

Diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bagaimana Abu Darda’ yang sangat mengambil berat terhadap ibadah kepada Allah swt sehingga ia tidak sempat berhias untuk dirinya serta tidak sempat memperhatikan makan minum dan tidurnya.

Ketika Salman Al-Farisi berkunjung ke rumahnya dan mengetahui hal keadaan diri Abu Darda’ itu, ia mendapat pengesahan dari isteri Abu Darda’ bahwa memang Abu Darda’ tidak memiliki hajat pada dunia.

Salman kemudian menasihati Abu Darda’ dengan kalimah yang dipersetujui oleh Rasulullah saw:

“Terhadap tuhanmu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan, terhadap badanmu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan, terhadap keluargamu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan. Maka berikan hak kepada setiap orang yang memiliki haknya.”

Jadi… sudahkah kita memenuhi kewajiban kita sebagai suami atau isteri kepada pasangan tercinta kita atau jangan-jangan kita malah tidak begitu tahu apakah kewajiban-kewajiban kita?

Semoga kita menjadi suami atau isteri yang baik yang dengannya kita mampu menempatkan diri kita untuk dicintai dan disayangi oleh pasangan kita masing-masing.

Ya Allah, permudahkanlah kepada kami untuk kami mewujudkan interaksi yang baik dengan pasangan kami sehingga melalui interaksi yang baik ini akan membuahkan kecintaan, kasih sayang, keseimbangan dan keadilan serta saling melaksanakan kewajiban masing-masing bagi melahirkan kerukunan rumahtangga yang menjadi refleksi kepada ‘Rumahku Syurgaku’.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”

“IKRAM WADAH PERJUANGAN”

Sharing is Caring