Bukan had jumlah anak
“BANYAK pasangan muda tergamam seketika apabila saya tanya mahu berapa orang anak atau berapa tahun jarak antara kehamilan yang menunjukkan aspek perancangan keluarga tidak termasuk dalam agenda hidup mereka,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.
Berdasarkan pemerhatiannya, isu perancangan keluarga masih menjadi topik janggal dalam masyarakat kerana ramai tidak pernah terfikir mengenainya apabila mendirikan rumah tangga.
Biasanya perbincangan sebelum kahwin lebih berkisar pada persiapan pengantin dan majlis perkahwinan tetapi jarang yang mengambil kira soal saiz keluarga atau bila mahu mempunyai anak.
Sedihnya ada pasangan yang bukan saja tidak pernah terfikir malah tidak mempunyai pengetahuan mengenai kepentingan untuk merancang keluarga.
Kebanyakannya berpendapat anak adalah rezeki dari Allah dan menerima berapa saja yang dikurniakan kepada mereka.
“Merancang keluarga bukan untuk mengehadkan jumlah anak. Tidak. Kita masih boleh mempunyai anak ramai sehingga lima orang, asalkan setiap kehamilan itu dirancang, direncana dan dikehendaki.
“Dirancang maknanya kehamilan itu dirancang jaraknya dengan kehamilan terdahulu atau seterusnya supaya anak tidak terlalu rapat. Ini kerana jika anak terlalu rapat, kemungkinan ada anak kurang mendapat perhatian sangat tinggi.
“Kehamilan direncana bermakna kita ada perancangan untuk anak yang bakal lahir khususnya jika ibu bekerja. Ini termasuklah persediaan si ibu sendiri sepanjang tempoh kehamilan kerana dia perlu menjalani pemeriksaan selepas lapan minggu hamil, siapa yang akan menjaganya ketika pantang dan mencari penjaga anak apabila si ibu kembali bekerja. Itu belum masuk soal kewangan bagi membiayai persekolahan anak.
“Setiap kehamilan mestilah dikehendaki. Memang ramai yang saya temui mengakui mempunyai anak ‘accident’ - maksudnya kehamilan yang tidak dirancang dalam keadaan pasangan tidak bersedia yang biasanya membabitkan anak kedua.
“Bayangkan apa perasaan anak jika mereka tahu mereka adalah ‘anak accident’,” katanya sempena Hari Kontraseptif Sedunia yang disambut pada 26 September setiap tahun.
Kesan daripada kehamilan yang tidak dirancang ini sangat besar terutama pada perkembangan emosi dan sosial anak berkenaan.
Lebih teruk jika ada ibu bapa yang bersikap pilih kasih kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap anak. Walaupun masih kecil tetapi anak-anak boleh tahu sama ada ibu bapa bersikap acuh tidak acuh, mereka disayangi atau tidak.
“Kesannya hanya akan nampak apabila anak-anak ini meningkat remaja. Pada masa inilah ramai yang terbabit dalam pelbagai perbuatan berisiko tinggi seperti aktiviti tidak bermoral, merempit atau melakukan jenayah.
“Soal selidik dilakukan ke atas ibu pelajar pesalah juvana mendapati anak-anak yang terbabit dalam jenayah adalah kurang mendapat perhatian ibu bapa.
“Ibu bapa menyifatkan mereka anak yang degil tetapi sebenarnya sikap ibu bapa yang kurang mengendahkan anak membuatkan si anak ‘memberontak’ dengan caranya sendiri.
“Itu insiden yang berlaku jika kehamilan itu dalam ikatan perkahwinan. Jika kehamilan luar nikah, maka bersedialah mendengar berita pembuangan bayi atau remaja melahirkan anak di asrama atau dalam tandas,” katanya.
Menurutnya, sikap acuh tidak acuh ibu dan ayah mengenai perkara ini perlu diperbaiki.
Katanya, orang dulu-dulu memang mahu mempunyai anak yang ramai apabila berkahwin tetapi keadaan kini berubah kerana wanita mempunyai kerjaya. Jadi ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum atau sejurus memasuki gerbang perkahwinan.
Mengapa isu perancangan keluarga penting?
Mungkin ramai pasangan tidak sedar perancangan keluarga perkara asas dalam hidup berumah tangga. Sekali lagi ditegaskan ia bukan bertujuan mengehadkan jumlah anak atau menolak anugerah dari Allah tetapi apa yang dikehendaki ialah kehadiran setiap anak itu memang sangat dinanti dan diharapkan.
Hanya dengan cara ini barulah anak itu akan mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.
Bagaimanapun kata Dr Harlina, isu ini tidak terhenti di situ kerana walaupun anak menjadi penyeri hidup dan pengikat kasih sayang ibu dan bapa tetapi kehadirannya juga boleh menyebabkan berlakunya pergolakan rumah tangga.
Kehidupan wanita moden sangat sibuk. Tidak cukup dengan kesibukan di tempat kerja dan rumah, mereka masih mahu menyumbang kepada masyarakat.
Kehamilan yang tidak dirancang memberi tekanan kepada emosi, fizikal dan kewangan.
“Untuk mendapat hidup yang bahagia kita perlukan lima elemen iaitu ketenangan emosi, kesihatan fizikal, keupayaan ekonomi, kelapangan masa (untuk anak-anak, suami dan diri sendiri) serta sokongan sosial (daripada segi penjagaan anak khususnya).
Jika aspek ini terganggu, maka kita akan mudah terhumban dalam konflik rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.
“Kebanyakan perceraian berlaku dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan, namun kadar lebih tinggi dicatatkan bagi lima tahun pertama kerana pada masa pasangan mula mendapat anak.
Jika tanpa perancangan, dalam tempoh lima tahun anda boleh memperoleh tiga orang anak.
“Namun jika aspek perancangan keluarga sudah dimasukkan atau dibincangkan dari awal, konflik rumah tangga membabitkan anak boleh ditangani dengan baik dan dapat menyelamatkan rumah tangga.
“Sebab itulah pentingnya kesedaran untuk menyusun atur keluarga supaya bukan anak-anak saja yang dapat manfaat tetapi ibu bapa juga boleh membentuk kehidupan berumah tangga yang bahagia,” katanya.
Malah melalui strategi menyusun atur keluarga, ibu dan bapa akan lebih bertanggungjawab dan prihatin pada anak-anak.
Mungkin ada yang tidak bersetuju dan mempertikaikan bahawa anak adalah anugerah Allah untuk ‘disusun atur’ tetapi kata Dr Harlina, Allah juga memberi kita akal untuk berfikir membuat perencanaan hidup demi kebaikan semua pihak.
Bahkan tidak keterlaluan juga jika dikatakan perancangan keluarga dapat mengelakkan berlakunya sikap pilih kasih.
Bila pasangan sepatutnya berbincang mengenai perancangan keluarga?
Menurut Dr Harlina, isu ini boleh dibincangkan pada bila-bila masa apabila mereka sudah bersedia untuk berumah tangga.
Antara persoalan perlu dimasukkan dalam perbincangan itu ialah bila mereka mahukan anak, berapa anak yang diingini dan berapa tahun jarak antara dua anak.
Jarak kehamilan yang paling ideal antara 2.5 hingga tiga tahun iaitu anak pertama berusia 2.5 tahun atau tiga tahun ketika kelahiran anak kedua. Pada jarak ini, ibu bapa dapat memberikan perhatian sewajarnya kepada setiap anak.
Islam tidak menghalang penggunaan kaedah perancangan keluarga bagi memastikan setiap kehamilan dan kelahiran adalah dikehendaki, disayangi dan dialu-alukan.
Malah, ia bukan saja membolehkan ibu bapa bersedia mental, fizikal dan kewangan, tetapi perancangan kehamilan penting untuk kesihatan wanita sendiri.
“Jika wanita berkahwin pada usia 23 hingga 25 tahun, dia boleh menetapkan had umur 35 tahun sebagai tahun terakhir mengandung tetapi dinasihatkan supaya tidak mengandung selepas umur 40 tahun kerana ada banyak risiko.
“Dalam tempoh 10 tahun, dia boleh mempunyai tiga atau empat orang anak jumlah yang sudah dikira mencukupi bagi sesebuah keluarga moden. Jadi dia bolehlah ‘bersara’ awal daripada mengandung.
“Bagaimanapun bagi yang berkahwin lewat contohnya pertengahan 30-an, perlu ada sasaran realistik, jumlah anak mungkin terhad kepada dua orang saja,” katanya.
Perlukah persetujuan suami?
Oleh kerana ia membabitkan saiz keluarga, sebaiknya perkara itu dibincangkan, bukan untuk mendapatkan persetujuan suami tetapi bagi mendapat maklum balas di samping menyalurkan ilmu.
Biasanya kebanyakan suami tidak membantah jika isteri mahu menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi kebaikan bersama.
Namun jika suami anda adalah jenis lelaki yang tidak boleh dibawa berbincang, maka tidak salah jika isteri mengambil keputusan sendiri kerana ia dilakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak.
Jika maklumat perancangan keluarga disebarkan, tidakkah akan timbul isu penyalahgunaan terutama di kalangan golongan muda beragama Islam?
Jika dilihat daripada perspektif agama, memang semua orang tahu bahawa seks sebelum berkahwin adalah zina dan haram.
Bagaimanapun kata Dr Harlina, kita perlu menerima hakikat golongan muda termasuk ramai remaja Islam di negara kita terbabit dengan atau seks luar nikah.
Pada pandangannya sebagai seorang doktor, semua orang perlu dibekalkan dengan ilmu mengenai pencegahan kehamilan baik bagi yang sudah berkahwin atau masih bujang.
Sekiranya mereka memilih untuk berzina (walaupun tahu ia adalah haram dan berdosa besar), maka si perempuan perlu tahu dua perkara iaitu risiko daripada hubungan seks dan cara mengelakkan kehamilan. Bahkan mereka juga perlu ada akses atau laluan untuk mendapatkannya.
“Dalam hal ini, lebih baik jika mereka tahu mengenai kaedah pencegahan kehamilan supaya tidak berlaku jenayah pengguguran kandungan atau pembuangan anak.
“Namun marilah kita sama-sama berdoa moga ramai anak gadis kita yang tahu menjaga kehormatan diri dan tidak menyalahgunakan ilmu yang mereka ada.
“Ketika bercinta tidak rugi lebih menyayangi diri sendiri daripada menyesal di kemudian hari,” katanya.
No comments:
Post a Comment