Lilypie Second Birthday tickers Lilypie Maternity tickers

Sunday, September 25, 2011

Membangun Interaksi Suami Isteri


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Apakah yang kita inginkan terhadap keluarga kita?

Sudah pasti, tidak ada seorang suami atau isteripun di dunia ini yang menginginkan keluarganya:

  1. Menjadi kacau bilau.
  2. Sentiasa bermasaalah.
  3. Menjadi neraka dunia.

Begitu juga dengan kita di mana kita pasti menginginkan :

  1. Keluarga yang harmoni di mana hubungan suami isteri yang romantik.
  2. Keluarga yang ‘sakinah mawaddah wa rahmah’.
  3. Rumah tangga yang menjadi syurga dunia iaitu ‘baiti jannati’ (rumahku syurgaku).

Untuk mencapainya, Islam mengajarkan kepada kita cara-cara untuk membangun kehidupan keluarga dengan berlandaskan interaksi antara suami dan isteri yang menekankan ciri-ciri berikut:

PERTAMA : KESEIMBANGAN (AT-TAWAAZUN)

Allah swt meletakkan hukum ‘tawazun’ (keseimbangan) pada setiap ciptaanNya.

Kita akan mendapati keseimbangan yang luar biasa pada alam ini misalnya :

  1. Kedudukan matahari yang jaraknya paling sesuai yang menghasilkan keseimbangan pada suhu bumi.
  2. Berlakunya putaran antara siang dan malam.
  3. Bintang-bintang yang menghiasi langit dengan indahnya.
  4. Kewujudan gas Oksigen yang mencukupi untuk pernafasan manusia.

“Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (QS Al-Mulk : 3)

Dengan keseimbangan ini, kehidupan berjalan dengan baik. Sebaliknya, apabila keseimbangan ini hilang, yang berlaku adalah kerusakan dan kebinasaan sepertimana ketika manusia merusakkan keseimbangan alam dan membuat tatacara lingkungan kehidupan yang “baru”. Ketika hutan telah ditebang dan dibersihkan, maka air sungai mula dicemari yang akhirnya mengakibatkan banjir dan ini adalah salah satu kesan dari ketidakseimbangan aktiviti yang dilakukan oleh manusia.

Begitu juga dalam kehidupan rumah tangga. Islam mengajarkan keseimbangan ini sebagai salah satu prinsip yang mesti diterapkan oleh suami isteri.

“Dan para perempuan memiliki hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf…” (QS Al-Baqarah : 228)

Menurut Ath-Thabari, sebahagian ulama’ ketika menjelaskan ayat ini mengatakan :

“Dan mereka (para isteri) mempunyai hak untuk ditemani dengan baik dan dipergauli secara makruf oleh suami mereka. Sebagaimana mereka berkewajiban mentaati suami dalam hal-hal yang telah diwajibkan Allah atas mereka.”

Sedangkan Muhammad Abduh dalam ‘Tafsir Al-Manar’ menafsirkan ayat ini dengan mengatakan :

“Dan yang dimaksudkan dengan keseimbangan di sini bukanlah kesamaan kewujudan sesuatu dan ciri-cirinya; tetapi yang dimaksudkan adalah bahwa hak-hak antara mereka itu saling mengganti dan melengkapi. Tidak ada suatu pekerjaan yang dilakukan oleh isteri untuk suaminya melainkan si suami juga mesti melakukan suatu perbuatan yang seimbang untuknya. Jika tidak seimbang dalam sifatnya, maka hendaklah seimbang dalam jenisnya.”

Sikap seimbang ini mesti wujud dalam kehidupan berumah tangga.

  1. Sebagaimana suami memiliki kewajiban terhadap isteri, isteri juga memiliki kewajiban terhadap suami.
  2. Jika suami ingin isterinya setia, demikian pula isteri menginginkan suaminya setia.
  3. Jika suami ingin dicintai oleh isterinya, isteri juga ingin dicintai oleh suaminya.
  4. Jika suami senang isterinya berhias rapi dan cantik, isteri juga senang jika suaminya berhias rapi untuknya.
  5. Jika suami merasa senang dilayani oleh isterinya, isteri juga turut merasa senang dilayani oleh suaminya.

Jika masing-masing isteri dan suami menerapkan prinsip keseimbangan (tawazun) ini, maka tidak akan ada perasaan yang terbeban oleh salah satunya melebihi yang lain.

Beban dan masalah yang dihadapi oleh keluarga akan menjadi lebih ringan dan perasaan cinta semakin tumbuh dan berkembang apabila melihat pasangan masing-masing telah melakukan yang terbaik di antara mereka.

KEDUA : KEADILAN (Al -‘ADALAH)

Keadilan mestilah menjadi landasan dalam interaksi antara suami dan isteri kerana hanya dengan sikap itulah keharmonian hubungan mampu dijaga dan dilestarikan.

Bahkan lebih dari itu, jika suami dan isteri masing-masing mampu bersikap secara adil maka kesatuan mereka akan menghasilkan sebuah potensi besar yang sangat diperlukan untuk melahirkan generasi penerus yang berkualiti.

“Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Al-Maaidah : 8)

Sikap adil yang lebih cenderung pada taqwa itu mesti dimiliki oleh suami dan isteri dalam interaksi mereka.

Sikap adil mesti menghiasi kehidupan rumah tangga, dari perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada persoalan yang lebih besar.

Adalah tidak adil jika suami mencela makanan yang disediakan oleh isterinya, sementara ia sendiri tidak mampu menyediakan bahan-bahan asas makanan dan peralatan memasak yang mencukupi.

Adalah tidak adil jika suami menuntut isterinya bersolek seumpama bidadari sewaktu di hadapannya, sementara suami tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk membeli bahan kosmetik yang diperlukan.

Adalah tidak adil jika isteri mencela suami kerana kesalahan kecil sementara kebaikan suami tidak pernah dipujinya.

Adalah tidak adil jika isteri tidak pernah berterima kasih kepada suaminya yang bekerja keras sebulan penuh dan menyerahkan sebahagian gajinya, sementara saat ada hadiah kecil dari kawan-kawannya, si isteri tersebut mengucapkan terima kasih berkali-kali dan menyanjungnya.

Sikap adil mesti dimulai dari pemahaman diri dan penerimaan.

Suami isteri mesti memahami kewajibannya dahulu dan kemudian melaksanakannya dan bukan dimulai dengan menuntut haknya.

Sikap adil lebih mudah dilakukan oleh suami isteri jika ada majlis perkumpulan dalam keluarga di mana majlis perkumpulan ini boleh dilakukan secara santai sambil minum teh bersama atau acara santai lainnya.

KETIGA : CINTA DAN KASIH SAYANG (AL-MAHABBAH WAR RAHMAH)

Cinta dan kasih sayang merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam interaksi antara suami dan isteri di mana kehidupan rumah tangga mestilah dibangunkan di atas landasan ini.

Ada sedikit perbezaan antara ‘mahabbah’ dan ‘rahmah’.

  1. ‘Mahabbah’ adalah cinta di kala suami isteri masih pada usia muda atau usia yang produktif.
  2. ‘Rahmah’ pula adalah cinta di saat mereka sudah menjadi datuk-datuk dan nenek-nenek di mana pada saat itu tidak ada hubungan intim suami isteri sebagaimana lazimnya ketika mereka muda, tetapi kasih sayang tetap membuatkan mereka bersatu dan saling mengasihi meskipun tidur saling membelakangi.

Dengan cinta dan kasih sayang, seorang suami akan berusaha semaksima mungkin untuk membahagiakan isterinya. Demikian pula isteri akan membahagiakan suaminya.

Cinta dan kasih sayang dalam ikatan perkahwinan mestilah menjadi cinta yang paling kuat dan paling kukuh melebihi apapun antara dua orang.

Rasulullah saw bersabda :

“Tidak terlihat di antara dua orang yang saling mencintai melebihi perkahwinan.” (HR Ibnu Majah)

Jadi, bagaimana jika perkahwinan kita belum juga membuahkan cinta atau cinta di awal perkahwinan kini menjadi semakin hambar atau nyaris pupus?

Salah satu tips yang boleh dilakukan adalah dengan mencari satu sahaja kelebihan isteri atau suami kita yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Kalau mencari yang sempurna (lebih dalam segala perkara), percayalah, kita tidak akan pernah mendapati seorangpun manusia seperti itu.

Cari satu sahaja kelebihannya dan fokuslah ke sana. Sudah sampai masanya kita mengabaikan satu pepatah yang mengatakan :

“Rumput jiran tetangga sentiasa lebih hijau.”

Tips lainnya adalah dengan sentiasa mengingati kesetiaan dan pengorbanannya.

Lihatlah sisi kelemahan atau kekurangan kita lalu bersyukurlah kerana Allah menjadikan pasangan kita menerima apa adanya.

  1. Kenanglah di saat kita ditimpa sakit, siapakah yang melayani dan menunggu kita?
  2. Ingatlah saat kita lemah, siapakah yang menguatkan kita?
  3. Renungkan ketika jiwa kita terasa dingin, siapakah yang menghangatkan jiwa kita?
  4. Bahkan, pandanglah anak-anak kita, isteri kitalah yang melahirkan mereka dengan risiko yang mengancam nyawanya manakala suami kitalah yang giat bekerja demi masa depan mereka.

KEEMPAT : MENDAHULUKAN KEWAJIBAN DARIPADA HAK (TAQDIIMU ADA-IL WAAJIBAAT ‘ALA THALABIL HUQUUQ)

Seringkali masaalah rumah tangga bermula dari perasaan ego suami atau isteri. Setiap mereka sentiasa menuntut hak-haknya tetapi tidak memperhatikan kewajibannya. Bahkan setiap mereka begitu tahu secara terperinci apa-apa yang menjadi hak masing-masing, tapi kurang peduli dengan kewajiban mereka masing-masing.

Interaksi suami dan isteri mestilah dibangunkan di atas landasan yang benar iaitu mendahulukan kewajiban daripada hak.

Oleh kerana itulah, buku ‘Kewajiban Isteri Kepada Suami’ mesti dibaca oleh isteri, bukan ditulis untuk dibaca oleh suami. Sebaliknya, buku ‘Kewajiban Suami kepada Isteri mesti dibaca oleh suami, bukan ditulis untuk dibaca oleh isteri.

Diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bagaimana Abu Darda’ yang sangat mengambil berat terhadap ibadah kepada Allah swt sehingga ia tidak sempat berhias untuk dirinya serta tidak sempat memperhatikan makan minum dan tidurnya.

Ketika Salman Al-Farisi berkunjung ke rumahnya dan mengetahui hal keadaan diri Abu Darda’ itu, ia mendapat pengesahan dari isteri Abu Darda’ bahwa memang Abu Darda’ tidak memiliki hajat pada dunia.

Salman kemudian menasihati Abu Darda’ dengan kalimah yang dipersetujui oleh Rasulullah saw:

“Terhadap tuhanmu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan, terhadap badanmu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan, terhadap keluargamu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan. Maka berikan hak kepada setiap orang yang memiliki haknya.”

Jadi… sudahkah kita memenuhi kewajiban kita sebagai suami atau isteri kepada pasangan tercinta kita atau jangan-jangan kita malah tidak begitu tahu apakah kewajiban-kewajiban kita?

Semoga kita menjadi suami atau isteri yang baik yang dengannya kita mampu menempatkan diri kita untuk dicintai dan disayangi oleh pasangan kita masing-masing.

Ya Allah, permudahkanlah kepada kami untuk kami mewujudkan interaksi yang baik dengan pasangan kami sehingga melalui interaksi yang baik ini akan membuahkan kecintaan, kasih sayang, keseimbangan dan keadilan serta saling melaksanakan kewajiban masing-masing bagi melahirkan kerukunan rumahtangga yang menjadi refleksi kepada ‘Rumahku Syurgaku’.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”

“IKRAM WADAH PERJUANGAN”

Sharing is Caring

Friday, September 9, 2011

Manusia Selepas Ramadhan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Malam-malam kita tidak lagi seperti sebulan yang lepas, yang syahdu di bawah lantunan kalam Ilahi dari para imam-imam tarawih.

Penghujung malam kita pun tidak seperti sebelumnya lagi, yang larut dalam tahajjud panjang, lalu menggamit keberkatan sahur, sambil berzikir dan beristighfar di sela-sela sisa waktunya.

Saat waktu Subuh tiba, saf-saf di masjid terlihat lebih padat dibandingkan waktu Subuh di luar Ramadhan. Selepas solat, sebahagian makmum lebih memilih untuk duduk berzikir menanti waktu syuruq, mereka berlumba-lumba mengejar pahala haji dan umrah yang disempurnakan dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat.

Solat kita pun tidak segagah di bulan Ramadhan lagi di mana kita lebih bersemangat memburu lima waktu berjamaah di masjid. Mengejar untuk mengkhatamkan Al Qur’an berulang kali, berlama-lama di masjid untuk satu, dua atau bahkan tiga juz Al Qur’an setiap hari.

Suasana petang hari kita tidak lagi disibukkan dengan zikir petang dan doa. Sebelum ini kita larut dalam detik mustajab menjelang masuknya waktu Maghrib, menikmati dua ganjaran kebahagiaan; bahagia kerana berbuka dan bahagia kerana puasa kita menjadi ‘wasilah bertemu’ dengan Allah swt.

Setelah semua keindahan suasana itu berlalu, lantas bagaimana dengan hari ini, selepas Ramadhan?

Bukankah Rabb yang menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda selama Ramadhan juga adalah Rabb yang sama ketika di luar Ramadhan?

Ada kata-kata yang menarik yang menyedarkan kita akan perkara ini :

"Kun rabbâniyyan, wa lâ takun ramadhâniyyan" (Jadilah hamba Rabbani bukan hamba di bulan Ramadhan)

Jangan menjadi manusia Ramadhan, yang kuat ibadahnya kerana berada di bulan Ramadhan sahaja, kerana setelah bulan itu berlalu, ia tidak akan mengalami perubahan hidup untuk menjadi lebih bertaqwa.

Namun jadilah manusia selepas Ramadhan yang :
  • Memiliki nilai keperibadian diri.
  • Merasai perhambaan kepada Allah yang tidak kenal henti.
  • Bertakwa tanpa batas.
  • Menepati sasaran yang diharapkan dari penggembelengan yang dilakukan selama sebulan.
  • Nilai ibadahnya terus meningkat sekali pun ia telah berada di luar bulan Ramadhan.

Para sahabat menyiapkan diri mereka selama enam bulan untuk menyambut kehadiran tamu agung bernama Ramadhan.

Pastinya mereka bermati-matian untuk beribadah sepenuh masa selama sebulan penuh itu seumpama bertemu dengan seorang yang dirindui di mana kita ingin berlama-lamaan bersama dengannya, menjamu, memberinya layanan sebaik mungkin dan sudah tentunya kita akan merasakan kesedihan yang amat sangat ketika perlu berpisah dengannya.

Perkara yang sama dirasakan oleh para sahabat Nabi di penghujung Ramadhan di mana mereka tidak gembira dengan baju baru, kueh-mueh dan makanan sempena Aidil Fitri sepertimana masyarakat secara umumnya menyambut, tapi mereka justeru bersedih kerana tamu agung itu sudah pergi meninggalkan mereka.

Mâ ba’da Ramadhân? (Apakah agenda selepas Ramadhan)?

Inilah masa-masa yang paling mencemaskan bagi para sahabat Nabi. Mereka takut akan amalan yang tertolak di mana puasa, qiyam yang panjang, tilawah yang berulang kali khatam, infak harta, pengorbanan jiwa raga dari satu medan perang ke perang lainnya, serta segunung amalan ibadah lainnya yang mereka lakukan selama Ramadhan, semuanya itu telah menjadi sebuah kekhuatiran terbesar bagi diri mereka.

Mereka lebih banyak bermuhasabah dalam sebuah tanda tanya :
“Apakah amal ibadahku di bulan Ramadhan sebelum ini diterima oleh Allah swt.?”
Para sahabat merawat Ramadhan dalam hati mereka dengan rasa ‘khauf’ (takut) dan ‘raja’ (pengharapan).

Mereka sekuat tenaga berusaha untuk istiqamah dalam amalan ibadah mereka. Jika mereka lengah sedikit, maka ini memberikan tanda bahwa amal ibadah mereka selama Ramadhan telah sia-sia kerana di antara ciri-ciri diterimanya amal ibadah seseorang dalam bulan Ramadhan adalah :
  • Keringanannya dalam mengerjakan kebaikan dan ibadah.
  • Jauhnya mereka dari melakukan kemaksiatan kepada Allah swt.
Enam bulan selepas Ramadhan, mereka masih bersedih memikirkan kepergian Ramadhan. Mereka memohon dengan sungguh-sungguh agar amalan ibadah selama sebulan penuh itu diterima oleh Allah swt sedangkan di separuh tahun sisanya, mereka kembali bergembira, bersiap diri menyambut kehadiran Ramadhan yang akan datang iaitu tetamu agung yang sentiasa mereka rindui.

Begitulah putaran roda kehidupan para solehin terdahulu di mana rentang waktu dari Ramadhan ke Ramadhan berikutnya diisi dengan ’taqarrub ilallâh’ seakan-akan menutup semua celah untuk ‘futur’ (merasa lemah) dalam beribadah.

Rindu mereka adalah rindu keimanan. Begitu pula kesedihan mereka adalah kesedihan kerana iman sehingga hari-hari berjalan dengan penuh kekhusyukan, hati mereka tenang, diisi dengan mengingati Allah dalam apa keadaan sekalipun.

Ini adalah kerana Allah swt telah memberi jaminan :

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (QS Ar Ra’du : 28)

Mereka memiliki keperibadiaan yang layak untuk diteladani.

Lalu bagaimana dengan kita?

Sudahkah ibadah kita melebihi mereka sehingga lebih merasa hebat dan yakin kalau amalan Ramadhan kita diterima?

Sedarlah bahwa ibadah kita pastinya masih jauh dari kesungguhan para sahabat itu sehingga rasa ‘khauf’ dan ‘raja’ yang kita miliki sepatutnya lebih besar berbanding mereka.

Sesungguhnya ini bukanlah suatu perkara yang bersifat ‘fiksyen’. Kita baru sahaja meninggalkan stesen ‘ruhi’ di mana kita sudah memenuhkan kembali tenaga diri kita. Bateri yang ‘fully charged’ yang kita miliki seharusnya mampu untuk bertahan bagi sebelas bulan berikutnya.

Ramadhan memang sudah pergi kerana datang dan pergi sudah merupakan sebahagian dari sunnatullah dalam kehidupan ini.

Memang dalam sebelas bulan ke hadapan, tidak ada puasa wajib seperti di bulan Ramadhan lagi, tapi sekarang kita masih memiliki amalan puasa yang lain, puasa sunnah 6 hari Syawal misalnya,yang keutamaannya telah dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis :

“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” (HR Muslim)

Masih ada puasa lainnya seperti puasa sunnah Isnin dan Khamis, puasa ‘Arafah, puasa ‘Asyura, puasa Nabi Daud dan sebagianya. Qiyamullail juga masih boleh kita lakukan. Solat sunnah ini menempati tingkatan kedua selepas solat fardhu sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw :
“Solat yang paling utama sesudah solat wajib adalah qiyamullail.” (Muttafaqun ‘alaih)

Baginda juga menyebutnya sebagai ‘tradisi dari orang-orang soleh’.
Amal ibadah yang menjadi amalan rutin kita selama sebulan Ramadhan diharapkan memang sudah menjadi sebuah kebiasaan sehingga ketika Ramadhan telah berakhir, kita tidak mengalami kesulitan untuk memulainya kembali.

Ketika masih terasa hangat aura Ramadhan kita, mari kita sama-sama hidupkan kembali amal rutin baik kita itu. Menjadikan amalan-amalannya sebagai sebuah kebiasaan sekali pun sedikit di mana yang penting kita memiliki amalan pengharap dan rutin dalam melaksanakannya kerana barangsiapa yang memiliki amalan rutin yang baik, ia tidak akan selamanya mengalami kerugian sekalipun terkena uzur di mana pahala akan tetap mengalir untuknya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahwa Rasululullah saw telah bersabda :

“Apabila seseorang menderita sakit atau sedang berpergian maka dicatat pahala untuknya amal yang biasa ia kerjakan di saat ia sihat dan tidak berpergian.” (HR Bukhari)

Semoga kita tidak menjadi manusia Ramadhan yang optimum ibadahnya selama sebulan sahaja manakala kosong di sebelas bulan berikutnya.

Sebaliknya jadilah kita manusia ‘Rabbâni’, yang sentiasa mengingati Allah bila dan dalam keadaan bagaimana sekalipun sepertimana ciri-ciri ‘ulul albâb’ yang termaktub dalam Al Qur'an :
“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring.” (QS Ali Imran : 191)

Ya Allah, anugerahkan kepada kami rasa takut kepadaMu yang membatasi antara kami dengan perbuatan maksiat kepadamu dan berikan ketaatan kepadaMu yang menghantarkan kami ke syurgaMu dan anugerahkan pula keyakinan yang akan menyebabkan ringan bagi kami segala musibah di dunia ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

original from
Wan Ahmad

Friday, August 12, 2011

Sinar Ramadhan

Sujudlah... sesungguhnya Allah rindu pada rintihanmu.

Makhluk Allah yang belum melihat dunia... di saat hati hampa melihat gelagat manusia yang bagai tiada kesedaran, lalai dan lagha. Dia seperti mempamerkan pendiriannya, "saya hamba Allah yang soleh, sentiasa bersujud dan bertasbih pada Allah" scan pada hari itu sangat mengubat hati. Menceriakan hati yang pilu. Terima kasih Tuhan. Seseungguhnya Tuhanku amat memahami.

Tetapi terasa agak gabra... insan itu suci dalam kandungan, hamba Allah yang fitrah. Mampukah kami mendidik dia seperti mana fitrah dia sebagai hamba yang sepatutnya bila dia keluar nanti? Semoga Allah memberikan petunjukNya.


Bismillah...

Sudah ke pertengahan puasa... semoga puasa kali ni lebih membentuk peribadi insan menjadi lebih baik dari sebelumnya walaupun.

Pungut pahala

Seperti firman Allah dalam surah al-baqarah mafhumnya:

"Telah diwajibkan keatas kamu puasa sabagaimana yang telah ditetapkan bagi umat terdahulu agar kamu bertaqwa"

Bagi insan yang memahami keistimewaan bulan puasa atau Ramadhan, maka di dalamnya dia bersungguh-sungguh membanyakkan 'amalnya kerana di bulan ini markahnya berganda. Kalau biasanya orang dapat bonus untuk dua tiga bulan gaji dalam setahun, tetapi Allah mengurniakan 100x ganda pahala bagi amal fardhu dan pahala amal sunat adalah bersamaan amal fardhu. Dan pahala puasa pula di firman oleh Allah mafhumnya:

"Semua amalan anak adam itu adalah bagi dirinya kecuali puasa. Amalan puasa itu adalah untukKu dan hanya Aku yang akan membalasnya"

.... jeng...jeng...jeng.... rasa curious and excited tak nak tahu apa ganjarannya. Allah yang janjikan tu. For sure akan ditepati dan tentulah hebat.

Hapuskan Dosa

Di bulan yang penuh keberkatan dan penuh maghfirah inilah juga untuk memohon taubat daripada Allah, membersihkan buku catatan 'amal dari dosa dengan sebanyak-banyaknya. Kenapa? Satunya memang Allah janjikan maghfirah di bulan ini bagi hamba yang memohon.

Second, pada bulan ini hati rasa lebih tenang dan penuh tawadhuk. Itu hasil dari diri sendiri. Maka dengan rasa rendah diri pada Allah, menginsafi perbuatan dosa yang lalu, maka lebih lunak hati untuk bercerita pada Allah, memohon ampun dan meminta belas kasih dariNya.

Maka bersujudlah hamba pada Khaliqnya, dengan menyedari kekerdilannya di hadapan Pencipta. Memohon ampun atas dosa-dosanya samada yang zahir mahupun tersembunyi. Memohon petunjuk dari Tuhannya, atas segala urusan hidupnya menjadi hamba dan khalifah di bumi Tuhannya.

Taman Ramadhan

Bulan ini digambar oleh para sahabat sebagai sebuah taman di padang pasir yang luas. Mereka melepaskan penat di taman ini dari panas terik dunia setelah mengembara selama sebelas bulan. Maka mereka akan berehat di taman ini selama sebulan, melepas penat, mengubati kelukaan, dan mengutip sebanyaknya bekalan untuk permusafiran seterusnya. Begitulah di analogikan antara taman dan ramadhan.

Sambil menikmati taman ini juga, para pengembara akan meng'evaluate' permusafiran mereka yang telah lalu, mana yang baik, mana yang buruk dan seterusnya merancang untuk permusafiran seterusnya. Sesungguhnya bulan ini adalah bulan motivasi.


Wednesday, August 3, 2011

Aqsa2Gaza2 - Ramadhan Kareem...


Asmwrbt.

Oleh kerana kita sedang berlapar sekarang, ana nak cerita sikit tentang makanan. Ini bukan makanan umat macam kita yg gelas air sirapnya berpeluh diluar, bau ayam golek di pasar ramadhan menusuk hidung dan perbagai warna kuih yg membuka nafsu termasuk permandangan yg masih tidak senonoh, berseluar ketat dan t-shirt, yg membuka nafsu syahwat dan mengurangkan pahala puasa.


Ini cerita makanan di Gaza.


Kita mengusahakan kilang roti dan ternakan lembu kerana 2 perkara ini adalah makanan asasi mereka. Roti dan keju (dari susu lembu). Kalau dapat roti dan keju, soal makanan settle. Itulah kehidupan di Gaza. Nak makan ikan? Di Gaza, kos membela tilapia pun dah sampai RM28-30 sekilo. Harga pasaran tinggi lagi le. Kat M’sia, kos membela ikan ini tak sampai RM3 sekilo.

Tambahan pula ramai yang tidak ada duit utk membeli makanan. Harga ini memang diluar jangkauan mereka. Begitu juga makanan lain.


Cerita roti dgn keju ini boleh diandaikan untuk keadaan kita macam nasi dgn kicap. Kalau berlaku kesusahan disini, mungkin kita hanya mampu makan nasi berlauk kicap. Agak2nya berapa lama kita boleh tahan dgn makanan sebegini saban hari?? Seminggu, sebulan…. setahun mungkin susah sikit kot.

Heran juga ye kenapa kaum Yahudi tidak boleh bersyukur dgn manna dan salwa yg datangnya dari langit. Memang kaum ini sangat tidak bersyukur.


Inilah kelebihan umat Islam seperti di Gaza dimana mereka makan setakat utk memenuhi keperluan hidup dan bukan hidup ini utk makan. Hidup ini utk ibadah dan memperhambakan diri kepada Allah semata2.

Bila ada konsep hidup utk makan, maka saban hari manusia hendak makanan yg sedap2 dan hebat2. Jika tidak mereka akan mudah jemu. Pasar Ramadhan itu makan utk hidup atau hidup utk makan? Antum jawab sendiri.

Perlu diingatkan, bagi masyarakat di Gaza dapat roti dengan keju ini sudah seribu rahmat. Seringnya mereka tiada makanan utk 3-4 hari. Malah ana dimaklumkan bahawa tentera mereka kadangkala dibekalkan hanya kurma dan air kosong selama berbulan-bulan. Tambahan pula mereka mengamalkan puasa Nabi Daud, berpuasa selang sehari…..masih dgn kurma dan air kosong.

Sungguhpun begitu, walaupun kekurangan makanan, mereka tidak kurus. Tidak ada yg berbadan tinggal tulang macam di Afrika. Ya, mereka memang lapar …. tapi tidak sampai tahap kebuluran.


Semasa official function Ismail Haniyeh, kami dihidangkan nasi bungkus yang dikongsi 2 org. Pelik juga. Mana ada official function makanan kena kongsi? Kemudian ana ke belakang khemah dan disana ana nampak polis mereka juga menikmati makanan yg sama. Tergambar kegembiraan diwajah mereka. Tapi makanan utk mereka dikongsikan 5-6 orang, atau mungkin lebih. Tidak bersisa. Mungkin mereka sudah lama tidak dapat makanan enak macam ini; yang bagi kita boleh dijamah saban hari. Terkedu sekejap.


Itsar


Dalam 10 Arkainul Baiah, perkara ke 9 Ukhuwah, ada satu unsur yang penting iaitu ITSAR (sebutan ‘i-tsar’ bukan ‘it-sar’). Itsar ini adalah sikap melebih atau mendahulukan sahabat lebih dari diri sendiri.

Semasa kami melawat pejabat ikhwah di Gaza semasa A2G dulu, kami dihidangkan daging panggang (gambar).



Azmi Katiman tanya mereka, “Where do you get all these food? Isn’t Gaza under seige?” Mereka hanya senyum sahaja tanpa menjawab. Kita sedia maklum bahawa mereka memang kekurangan makanan, tetapi makanan utk kami sebagai tetamu tetap ada. Dan banyak pulak tu.

Begitu juga dgn makan malam yg dihantar ke hotel selepas function tamat. Mungkin mereka hanya ada makanan utk tamu yg datang dari luar ini (VP5), tetapi tidak untuk rakyat Gaza. Justeru itu, semasa function tidak ada makanan diedarkan.


Terkenang juga kesah seorang kanak2 yang diberikan coklat. Di Gaza, coklat adalah rare item. Payah nak dapat. Seperti biasanya, kanak2 bila dapat coklat akan menyorokkan coklat tersebut, bawa ke tempat yg agak sunyi dan makan seorang diri. Ini cerita biasa tetapi bagi kanak2 di Gaza, mereka adalah luar biasa. Bila diberikan coklat, dia akan memanggil kawan2nya dan coklat itu dikongsikan seorang sikit. Maka masing2 dapatlah secebis utk celah gigi.

Terfikir ana, siapa yg mengajar mereka itsar macam ini?

Mungkin atas sifat itsar inilah, Allah memberikan keberkatan kepada hidup dan perjuangan mereka. Mereka saling berkorban sesama sendiri, termasuk kanak2.


Kita disini macam mana? Apakah sifat ini masih kekal pada kita, iaitu mendahulukan sahabat. Ada seorang ikhwah kita (dia telah meninggal dunia), bila kita tanya dia ada duit tak utk dipinjam, secara spontan dia akan jawab "Ada. Berapa nak pakai? Bila tahu jumlah dia akan kata "Tunggu kejap ye". Beliau kemudian akan berjumpa dgn beberapa ikhwah lain dan meminjam dari mereka. Duit yg dia pinjam inilah yg dia berikan kepada kita. Memang beliau seorang yg hebat. Sikap dia suka mendahulukan sahabat memang terkenal.


Terkenang juga kesah para sahabat Ikrimah bin Abu Jahal, salah seorang syuhada dan mujahid semasa perperangan Yarmuk dimana bila beliau luka parah dan meminta air. Bila air diberikan terdengar pula sahabat sebelahnya juga sedang parah dan meminta air, lalu diberikan air tersebut kepada sahabatnya tanpa menjamah walau setitik pun. Bila sahabat itu nak minum, terdengar pula sahabat lain yg juga parah dan meminta air. Pun begitu juga, air tadi tidak diminum malah diberikan kepada sahabat yg meminta itu. Perkara ini berlaku beberapa kali dan bila air diberikan kepada sahabat yg meminta, beliau telah syahid. Balik kepada yang meminta tadi, dia pun syahid juga. Akhirnya semua syahid tetapi air sebekas tidak diminum langsung akibat sifat itsar mendahulukan sahabat, walaupun dlm saat yag sangat genting.

Inilah kualiti sahabat di zaman Rasulullah saw. Kita bagaimana?


Oleh itu, dalam kita nak mendapatkan dana utk A2G2 ini, ana nak cadangkan kita bawa sifat itsar ini dlm kehidupan kita.

Kalau biasanya kita berbaju baru utk hari raya, apa kata kalau tahun ini kita pakai baju tahun lepas. Duit budget nak beli baju baru itu kita berikan kepada A2G2 utk di bawa ke Gaza?

Kalau kita dah boleh save RM100 dari diri kita, tanyakan juga anak2 kita dan ahli keluarga kita. Mana satu kebiasaan kita yg boleh dikorbankan utk saudara kita di Gaza? Kalau dikumpulkan, satu keluarga mungkin boleh dapat RM200-300. Kalau ada 1,000 orang, dah ada RM200-300k.


Insyallah, dalam bulan Ramadhan yg penuh berkat ini, sifat itsar kita mungkin akan jadi amalan kita hingga akhir hayat nanti.

Wassalam.


by

Norazmi Talib
peserta konvoi Aqsa2Gaza tahun lepas

Misi AQSA2GAZA2, sasaran ---> RM 250, 000. Jom sama-sama gerakkan!

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun:Akaun Maybank : Aqsa Syarif BhdNo Akaun: 551575004299.